Apabila Adam diciptakan dan diciptakan pula Hawa di sisinya, maka ketika Adam bertanya kepada Hawa, “Siapa kamu? Jawab wanita itu, Aku Hawa dan aku dijadikan untukmu, supaya engkau rasa tenang terhadapku.” Adam dicipta dalam syurga yang serba lengkap dan sempurna, tetapi tetap memerlukan seorang wanita sebagai pelengkap kehidupannya.
Kesimpulannya, cinta adalah fitrah atau perasaan semula jadi. Cinta perlu dimeterai dengan perkahwinan seperti firman Allah yang bermaksud:
“…Dan dijadikan untukmu pasanganmu dan dijadikan antara kamu mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan)…” (Surah Rum, ayat 21)
Cinta ini hanya boleh dinyatakan melalui gerbang perkahwinan dan manfaat yang paling besar akan terbit daripada cinta sebegini.
Persoalan yang dilontarkan ialah bolehkah bercinta sebelum berumah tangga. Sebelum persoalan ini dijawab, ada baiknya jika istilah cinta itu dikupas. Menurut kamus kehidupan muda mudi hari ini, cinta itu membawa maksud menyatakan perasaan secara terbuka antara lelaki dan perempuan yang tidak punya sebarang hubungan kekeluargaan (halal nikah) dan kemudian memupuk cinta dengan keluar bersama, menghubungi satu sama lain sama ada melalui perbualan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel dan sebagainya.
Apakah batas syarak yang diletakkan pada cinta? Batas syarak itu ialah batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Lelaki dan perempuan tidak boleh berada secara berdua-duaan tanpa ditemani muhrim kerana apabila berduaan lelaki dan perempuan yang ketiganya ialah syaitan.
Lelaki dan wanita juga wajib menjaga aurat, akhlak dan adab pergaulan. Jika semua itu dijaga rapi, pakaian menutup aurat dengan sempurna, tidak berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah, menjaga adab tutur bicara, tidak melunak atau memanjakan suara hingga boleh menimbulkan keinginan pada sang lelaki, maka boleh saja lelaki dan perempuan bercinta sebelum berumah tangga.
Bagaimana caranya? Kita sedia maklum kehidupan hari ini kompleks dan menuntut persediaan diri yang mantap bukan saja dari sudut emosi tetapi juga kepemimpinan keluarga, keupayaan ekonomi, penguasaan ilmu, sebelum seseorang itu melangkah masuk ke gerbang rumah tangga.
Sudah tentu persediaan itu memerlukan masa. Contohnya, menyediakan keupayaan ekonomi. Seseorang itu mungkin terpaksa melanjutkan pelajaran di universiti selama empat tahun, selepas tamat pengajian, perlu mengumpul wang bagi melengkapkan keperluan untuk berumah tangga.
Dalam tempoh berkenaanlah cinta yang berputik antara dua insan perlu dipupuk dan perlu melalui syariat.